
Sekumpulan doktor kanan dan pakar perubatan telah mengeluarkan kenyataan membidas kerajaan berhubung 'serangan polis' ke atas peserta perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu di dua buah hospital.

Isnin lalu, menteri kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0. Katanya, dakwaan yang berlegar di media internet berhubung tembakan ke arah hospital itu adalah tidak benar. Liow juga berkata sebenarnya polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.
Beberapa rakaman video dan gambar yang dikemukakan terus diperlekehkan oleh kerajaan termasuk anggota jemaah menteri. Menurut kesebelas-sebelas doktor berkenaan, pihak berkuasa tanpa rasa malu terus menafikan serangan itu di sebalik pelbagai bukti yang dikemukakan dan ramai saksi yang tampil membuat pengakuan. Kenyataan media itu ditandatangani oleh Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong. "Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka. Doktor-doktor itu berkata mereka tidak berhasrat menyertai polemik selepas perhimpunan itu, tetapi sebahagian daripada mereka yang sedang bertugas ketika kejadian, bersedia memberi keterangan bersumpah, jika diperlukan bagi memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.

No comments:
Post a Comment