Terbukti benar
Ramalan itu terbukti benar apabila pejabat Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis kerana tidak berpuas hati dengan rumusan yang dibuat oleh badan itu. Justeru arahan diberi kepada polis untuk menyiasat lagi kes video lucah tanpa terikat kepada sebarang tarikh untuk menyiapkan siasatan. Pada masa sama,Berita Harian, sebuah lagi akhbar kawalan Umno memetik sumber-sumber sebagai mendakwa sebuah agensi penyiaran Korea Selatan kononnya mengesahkan pelaku dalam video Datuk T sepadan dengan badan Anwar menerusi ujian bio-metrik. Semua “fakta-fakta” ini adalah untuk mempengaruhi rakyat, khususnya pengundi Melayu supaya menolak Anwar dan pada masa sama merencatkan hubungan PKR pimpinan Anwar dengan PAS dan DAP. Perkembangan terbaru memberi petanda jelas bahawa rakyat Malaysia harus bersedia untuk disajikan dengan pelbagai fitnah terhadap Anwar bersabit video Datuk T. Pada masa sama, individu-individu seperti Nalla dan Umi Hafilda dipergunakan untuk menabur tuduhan-tuduhan lain terhadap Anwar. Kenapa begitu banyak tumpuan diberikan oleh kerajaan pimpinan Umno, polis dan pejabat Peguam Negara terhadap kes Anwar? Jawapannya berkait dengan pilihan raya umum ke-13 dan pemilihan Umno yang akan datang. Kedua-duanya mempunyai impak besar ke atas kelangsungan jangka hayat politik Datuk Seri Najib Razak. Para strategis Umno menjangka peluang parti itu menguasai pengundi Melayu atas pagar akan cerah jika ia berjaya memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin Islam dan menampilkan beliau sebagai peliwat dan kaki perempuan. Analisis yang dijalankan oleh Biro Tata Negara menunjukkan pengundi Melayu amat menitik-beratkan soal agama dan moral – justeru Anwar menjadi sasaran tuduhan seks bertalu-talu dalam hasrat Umno untuk memberi isi kepada persepsi itu.
Saingan Muhyiddin Justeru tidak sukar memahami kenapa video lucah Datuk T dimainkan di kem-kem BTN sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman. Pengundi atas pagar kaum Melayu memegang kunci untuk memastikan sama ada Najib akan dapat merebut balik majoriti dua pertiga di Parlimen atau kecundang terus di medan pilihanraya kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar. Jika Najib tewas atau gagal menawan balik majoriti dua pertiga BN, usia remaja beliau sebagai PM dan presiden Umno akan mendapat saingan hebat daripada gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Walaupun pemilihan Umno masih dilihat sebagai jauh lagi, garisan-garisan pertempuran (battlelines) sedang pun dilakar dan kem-kem tertentu dibentuk dan dipupuk. Kunci kepada siapa sokong siapa dan siapa lawan siapa akan berpaksi kepada pencapaian Najib pada PRU 13 – jika BN menang majoriti dua pertiga – Najib akan dijulang sebagai penyelamat maruah Umno. Jika tidak, beliau dan gagasan 1Malaysia akan dikritik sebagai penyebab maruah Melayu tergadai di bumi sendiri. Berasaskan sifir politik ini, bukanlah menjadi misteri kenapa Anwar harus ditumbangkan dalam apa cara sekalipun sebelum Najib mengadakan pilihanraya umum. Hanya apabila yakin cabaran Anwar sudah ditumpulkan, kredibiliti dan maruah beliau sudah musnah di mata rakyat, maka hanya pada masa itu , Najib akan mendapat “ilham” untuk memanggil pilihanraya umum. Sementara menunggu detik, itu, rakyat khususnya pengundi Melayu harus melazimkan diri dengan membaca “cerita bukan-bukan” mengenai Anwar di muka depan Utusan Malaysia, Berita Harian dan menonton topik yang sama menerusi RTM serta TV3.
Wira Arjuna pernah menerajui beberapa media arus perdana dan cukup masak dengan mainan Umno-BN mempengaruhi persepsi orang ramai.
No comments:
Post a Comment