PONTIAN - Pemuda Pas Pontian menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu, mengenai Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong.
Ketua Penerangannya, Noorsaiful Amri berkata, Mat Sabu bukan bercakap kosong mengenainya, tetapi turut mengemukan bukti terhadap kenyataan yang dibuat.
Menurutnya, bukti yang didedahkan berdasarkan kepada buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan sendiri oleh Yayasan Warisan Johor pada 2004.
“Baca dahulu, fahami isi kandungan buku yang diterbitkan sendiri oleh Kerajaan Negeri ini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Noorsaiful berkata, isi kandungan tersebut jelas menunjukkan sejarah Mat Indera di Rumah Pasung Bukit Kepong yang selama ini menjadi pertikaian banyak pihak.
Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap media arus perdana yang banyak mereka cerita berkenaan kenyataan Mat Sabu terhadap isu ini.
“Mat Sabu tidak pernah sebut perkataan komunis, tetapi menyokong perjuangan Mat Indera ketika tragedi Bukit Kepong,” katanya.
Justeru beliau berharap, dengan bukti kukuh yang dikemukakan ini, ia akan menjawab persoalan dan ketidakpuasan hati pihak-pihak yang menuding jari kepada Mat Sabu.
“Jangan pandai melabelkan orang yang bukan-bukan, fahami sejarah negara terlebih dahulu, banyakkan membaca dan bukan sekadar menonton filem Bukit Kepong sahaja,” katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukan Mat Sabu bukan untuk mengubah sejarah, tetapi untuk memperbaikinya sahaja, memandangkan banyak kisah-kisah dan cerita pejuang kemerdekaan yang tidak diketengahkan.
Katanya, Pas dan PKR tidak buta sejarah seperti yang diperkatakan, sebaliknya merupakan parti yang benar-benar mahu menegakkan keadilan bagi pejuang kemerdekaan negara yang masih ramai tidak mengetahui kisahnya.
“Apa yang berlaku, manipulasi fakta dan kenyataan Mat Sabu sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati ahli keluarga anggota polis yang berjuang,” katanya.
Beliau turut memuji tindakan Mat Sabu yang mengadakan sidang media seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian, semalam.
Tindakan itu, katanya, menangkis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap Mat Sabu mengenai kenyataan yang mengiktiraf Mat Indera sebagai hero Bukit Kepong.
Wednesday, September 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment