Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 5 Sept: Umno telah mengguris hati rakyat Johor kerana mendakwa Mat Indera (gambar) adalah pengkhianat bangsa. Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata, Umno tidak cermat mengulas isu serangan Rumah Pasung Bukit Kepong yang membabitkan Mat Indera. "Mereka (Umno) telah mengguris hati rakyat Johor kerana mendakwa Mat Indera pengkhianat bangsa. Sedangkan dalam buku Pengukir Nama Johor mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang bangsa,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Menurutnya, buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor itu dinaungi oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri. "Saya sebagai Ketua Pemuda PAS Johor sangat kecewa dengan tindakan Umno yang tidak mengiktiraf jasa Mat Indera. "Saya yakin seluruh rakyat negeri Johor terguris dan kecewa dengan tindakan Umno,” ujarnya. Di akhir biografi ringkas Mat Indera di dalam buku tersebut, penulis ada menyebut: "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Mat Indera adalah seorang yang berani berjuang secara terbuka melibatkan jasmaninya, rohaninya, inteleknya, dan emosinya demi bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Sementara itu, walaupun Mat Indera dikaitkan dengan peristiwa serangan Rumah Pasung Bukit Kepong, namun menurut saksi, seorang anggota polis marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan, Mat Indera tidak menyerang. Beliau sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis. Mat Indera memang bertanggungjawab mengarahkan serangan tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggota polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina. |
Monday, September 5, 2011
Mat Indera: Umno guris hati rakyat Johor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment